Friday, September 19, 2008

MUHAMMAD SAW, Putera Lembah Bakkah


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Sejak akhir-akhir ini, saya begitu tertarik untuk membaca kisah Rasulullah, meskipun saya telah mengetahui fakta tentangnya dari buku yang berbeza, akan saya baca semula tanpa ada rasa jemu. Allah telah membukakan hati saya untuk membeli buku ini sejak di kedai buku lagi, dan saya amat tertarik untuk membelinya. Hakikatnya, buku ini sama sahaja seperti buku2 lain, fakta juga sama. Apa yang berbeza, penulis buku ini telah menkreatifkan cara penyampaian cerita dalam bentuk yang lebih menarik. Diselitkan beberapa dialog, monolog, latar peristiwa, situasi, dan pergolakan perasaan yang menjadikan kita lebih terkesan dengan situasi tersebut. Buku ini juga menyelitkan beberapa figura padang pasir supaya kita benar2 menghayati babak cerita, seolah2 kita berada di situasi tersebut.


Buku ini mengisahkan perjalanan hidup Nabi pada tahun2 awal kehidupannya sebelum diangkat menjadi Rasul yang penuh dengan keajaiban. Keajaiban ini bermula semenjak zaman Abdul Muttalib memimpin kota Makkah. Dari susur galur keturunan Nabi, kita dapat melihat bahawa Allah telah merencanakan perancangan yang begitu teliti dan tersusun untuk Nabi pilihanNya di mana Allah telah memilih keturunan yang baik2 dari datuk Nabi, serta ibu dan bapanya. Semua itu adalah perancangan Allah yang menginginkan Nabi pilihanNya dalam kalangan orang2 yang mulia.


Semua Nabi mengembala kambing, begitu juga dengan Nabi Muhammad. Supaya dengan itu, mereka dapat berfikir tentang penciptaan langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya. Kehidupan Nabi penuh dengan cabaran dan dugaan, dilahirkan tanpa melihat ayah tersayang, ditinggal pergi oleh sang ibu yang baru hanya 3tahun mengecap kasih. Dipelihara pula oleh datuknya, namun itu juga tidak lama hanya 2 tahun cuma dan dijaga pula oleh bapa saudaranya Abu Talib. Allah mengajar Nabi untuk hidup sendiri tanpa bergantung hidup pada sesiapa. Nabi akur dengan ketentuan hidupnya, menjadikan dia lebih berfikir tentang kehidupan. Allah Maha Pegasih lagi Maha Penyayang, tidak dibiarkan Nabi pilihanNya hidup sendirian, bahkan Dia sentiasa memeliharanya daripada melakukan perkara2 mungkar yang biasa dilakukan oleh orang Arab jahiliyah.


Bacalah buku ini yang tidak setebal mana, hanya mengandungi 133 mukasurat, tetapi isi kandungannya sarat dengan ilmu kehidupan yang mampu menginsafkan dan menyedarkan kita. kadang2 kita hanya membaca buku2 gerakan, buku2 dakwah,buku2 tentang politik, tapi kita lupa membaca tentang sejarah Nabi yang mana ia menyelitkan banyak penyelesaian bagi masalah umat hari ini. Kadang2 kita terlalu ego, bahan bacaan kita hebat2 tapi sedikit pun tidak mampu mengubah diri kita kepada kehidupan yang lebih baik. Masalah tetap juga tidak selesai…kerana kita tidak mengambil pelajaran dari kisah hidup Nabi junjungan. Allah ada berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah”. (Al-Ahzab:21)


Tajuk buku : Muhammad SAW, Putera Lembah Bakkah

Habis dibaca : 11 Sept 2008


No comments: