Thursday, July 3, 2008

KHADIJAH.. Kisah cinta sejati Rasulullah


Alhamdulillah, berjaya juga menghadam buku ini setelah hampir 2 minggu ia berada dalam pelukan.. Buku ini dipinjamkan oleh seorang sahabat, yang juga berminat dengan buku2 sebegini. Satu demi satu ayat dijamah, satu demi satu helaian diselak, terserlah keunikanannya dengan sentuhan yang begitu mendalam.


Kisah cinta, kasih sayang dan pengorbanan seorang isteri terhadap seorang suami yang diangkat menjadi Rasul. Pelbagai cabaran, dugaan, dan rintangan terpaksa ditempuhi bersama. Namun tidak terselit mahupun terdetik sedikitpun rasa lelah,letih,dalam memperjuangkan agama yang dibawa oleh suaminya. Dialah isteri.. yang selalu menghibur dikala duka, Dialah isteri yang meyakinkan sang suami akan kebenaran wahyu yang diterimanya, Dialah juga isteri yang menguatkan suami tika dirinya dihina, dicerca, dan dimaki oleh kaumnya sendiri.


Dialah wanita mulia, wanita hartawan, wanita yang terpilih untuk menjadi pendamping Nabi. Wanita yang mengorbankan hartanya untuk membantu perjuangan islam, untuk membantu umat islam dalam mengharungi perjalanan hidup yang penuh rintangan. 3 tahun umat islam berada dalam buangan, nyawa2 mereka hampir mati kerana kekurangan bekalan makanan. Berkat usaha Khadijah, dia memperoleh sejumlah bekalan yang sedikit sebanyak membantu kelangsungan hidup umat islam di padang pasir yang tandus dan kontang.



Kisah ini mengingatkan saya, bahawa setiap apa yang kita lakukan, setiap perasaan yang terlintas di hati kita, adalah bersumberkan dari Allah, Tuhan Pencipta segala makhluk. Allahlah yang menggerakkan hati Khadijah untuk meminang Nabi. Keluasan fikiran, kekayaan, keluhuran budi, kekuatan hati dalam memimpin keluarga sepanjang ketiadaan suaminya menjadi sumber kekuatan dalam membantu perjuangan Nabi yang tiada tolok bandingnya. Dialah satu2nya wanita yang menghantar kafilah dagang ke Syam. Dari situlah juga perkenalannya dengan Muhammad, yang ketika itu baru mencecah 2o-an tahun. Melalui penelitian dan maklumat dari Maisarah hadamnya, Khadijah yakin bahawa Muhammad seorang manusia yang jujur dan amanah. Melalui saudara sepupunya, Waraqah bin Naufal, dia yakin Muhammad akan menjadi seseorang yang mulia dan terpandang dalam masyarakat. Dengan ilham yang diturunkan Allah itulah, dia merasakan Muhammad adalah seorang lelaki yang terbaik untuk dijadikan suaminya. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan kerana itulah yang DIA rancangkan untuk Nabi pilihanNya.


Dia seorang wanita, seorang isteri juga seorang ibu yang patut dicontohi oleh setiap wanita. Dia manusia biasa, merasa gembira apabila suaminya gembira. Dia juga merasakan pedihnya bila mana suaminya dihina dan dicerca. Hatinya tidak tenteram bila mengetahui kaum musyrikin Mekah merancang untuk membunuh suaminya. Tidak terlepas dari doanya memohon kepada Allah supaya menyelamatkan RasulNya dari ancaman kaum musyrikin. Alhamdulillah, Allah masih menginginkan agamaNya tersebar ke muka bumi. Dia tahu, suaminya bersedih bila kaum musyrikin mencerca dan menghina agama yang dibawanya, oleh itu Khadijah sentiasa menjadi penghibur supaya kesedihan itu hilang. Diyakini suaminya, bahawa baginda membawa ajaran yang benar, ajaran yang menyeru untuk menyembah dan mengesakan Allah, meninggalkan penyembahan berhala, berkata jujur, menunaikan amanah, menghubungkan silaturrahim, berbuat baik kepada tetangga, meninggalkan perbuatan-perbuatan dosa, dan tidak menumpahkan darah. Khadijah pernah berkata:



Waraqah telah menegaskan kepadaku bahawa engkau adalah utusan Allah untuk umat ini, Maka bertahanlah wahai Rasulullah”


Tidak cukup dengan itu, Khadijah sekali lagi berkata, “Ya,engkau adalah utusan Allah. Aku bersumpah demi ayah dan ibuku, aku mempercayaimu. Aku beriman kepada Allah dan kepadamu sebagai rasulNya”

Mendengar kata2 itu, Muhammad merasa terlepas dari beban berat yang ditanggungnya. Khadijah.. isterinya inilah yang telah menghilangkan kekhuatiran dan ketakutannya sehingga Muhammad merasa kekuatannya pulih kembali. Berkat kesabaran dan kekuatan dalam mengharungi rumahtangga yang penuh kecintaan dan kasih sayang, mereka dikurniakan 6 orang cahaya mata, Qasim, Abdullah, zainab, Ruqayyah, ummu kalthum, dan Fatimah. Namun begitu, hanya Fatimah yang sempat bersama Rasulullah hingga ke akhir hayat baginda.



Setiap yang hidup pasti akan merasakan mati. Begitu juga Khadijah yang juga manusia biasa, diciptakan sebagai wanita penghibur dan penguat semangat Nabi. Khadijah begitu ingin melihat islam berkembang hingga ke seluruh pelusuk jazirah Arab. Khadijah begitu ingin melihat umat islam melakukan tawaf di kaabah dengan suasana aman. Khadijah juga begitu ingin melihat kemenangan islam, juga kemenangan umat islam. Namun, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Selepas tiga hari menanggung derita, Khadijah menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi Rasulullah. Kesedihannya tidak dapat dibendung, kediamannya menjadi suram, pelita yang menerangi ‘istana’nya selama ini telah meninggalkan mereka sekeluarga. Tinggallah Rasulullah bersama puteri2nya melangsungkan hidup yang sememangnya telah menjadi perancangan Allah yang Maha Penyayang. DIA sekali2 tidak akan meninggalkan RasulNya keseorangan. Diberi RasulNya kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan tanggungjawab dan amanah yang terpikul dibahu tanpa pendorong dan penghibur.

Sabda Nabi saw:
“.. Demi Allah, aku tidak pernah mendapat pengganti yang lebih baik daripada Khadijah. Dia yang beriman kepadaku ketika semua orang ingkar. Dia yang mempercayaiku ketika semua orang mendustakanku. Dia yang memberiku harta pada saat semua orang enggan memberi. Dan darinya aku memperoleh keturunan, sesuatu yang tidak ku peroleh dari isteri-isteriku yang lain”. (HR Ahmad)


Inilah kisah Khadijah, cinta sejati Rasulullah. Semoga akhlak dan peribadinya yang luhur dapat kita jadikan ikutan dalam mengharungi perjalanan hidup sebagai seorang wanita, seorang isteri, juga seorang ibu… suatu hari nanti..


Mampukah kami Ya Allah?

Mampukah kami?


“Ya Allah, jauhkanlah kami dari keburukan diri sendiri dan berilah kami kemampuan untuk memilih yang terbaik dalam urusan kami. Ya Allah, ampunilah dosa2 yang kami lakukan secara sembunyi2 atau terang2an, dosa2 yang di sengajakan atau yang tidak disengajakan serta dosa2 yang tidak kami ketahui”





Tajuk buku: Khadijah.. Kisah cinta sejati Rasulullah

Penulis : Abdul Mun'im Abdullah

1 comment: