Tuesday, August 5, 2008

Mukjizat Rasulullah saw

Semakin kita mengenalinya, semakin kita sayang padanya. Semakin kita menelusuri kisah hidupnya, semakin kita mengetahui betapa sempurna hidupnya, makin sempurna dan makin tertutup segala kelompangan dan cacat cela dirinya. Semakin ketara pula perbezaan antara kita dengannya, bagai langit dan bumi, bagai kaca dan permata. Nyata, kita memang tidak sebanding dengannya, dengan wali Allah sekalipun jauh sekali. Dialah MUHAMMAD RASULULLAH penghulu dan penutup segala Nabi. Namanya harum mewangi, tercatat di lembaran kitab2 terdahulu sebelum penciptaannya. Dia pergi sebelum kita sempat menatap wajahnya, namun pemergiannya meninggalkan kita dengan Al-quran dan sunnah, andai kita berpegang dengan keduanya, tidak akan tersesat kita selamanya.
Semenjak kecil, kita dikenalkan dengan Nabi Muhammad. Kita belajar tentang kisah hidupnya, kita belajar tentang sunnahnya, kita belajar tentang hukum hakam yang yang disyariatkannya. Semakin kita membesar, semakin banyak yang kita pelajari, tapi kita hanya belajar dan belajar tanpa ada pemahaman jauh sekali penghayatan. Berapa banyak antara kita yang menjadikan akhlaknya sebagai ikutan? Berapa banyak antara kita yang menjadikan sunnahnya sebagai cara hidup? Jauh… jauh sekali..

Terdetik hati saya untuk membaca buku ini kerana memikirkan andainya seorang yang bukan islam bertanya kepada saya, apa kelebihan Nabi Muhammad berbanding Nabi2 lain? Apa yang mampu dijawab? Betapa banyak mukjizat dan irhas yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, tapi kita hanya mampu menyebutkan satu, dua, dan mungkin tiga sahaja. Orang2 bukan islam khususnya kristian begitu ingin mengetahui kehebatan Nabi Muhammad, bukan untuk mengenali keistimewaannya, bahkan mereka ingin mencari kelompangan2 dalam islam dan membongkar segala cacat cela Nabi Muhammad. Dalam masa yang sama mereka berdakwah agama mereka. Itulah strategi yang digunakan, begitu halus dan teliti.

Buku ini memperincikan tentang mukjizat2 dan irhas yang diberikan kepada Rasulullah. Irhas merupakan perkara luarbiasa yang diberikan kepada Nabi2 sebelum diangkat menjadi Rasul. Irhas Nabi Muhammad bermula sejak zaman datuknya, Abdul Muttalib. Abdul Muttalib sering bermimpi akan munculnya kelahiran bayi lelaki dari keturunannya yang akan diberi nama Muhammad. Pernah suatu malam dia bermimpi melihat rantai perak keluar dari tulang punggungnya kemudian naik ke langit menjadi pohon yang hijau. Dahannya tumbuh memanjang sehingga menutupi timur dan barat. Kelihatan begitu ramai orang dari arah tersebut yang bergantung di ranting pohon itu. Beliau melihat orang quraisy mendatangi pohon itu dan ingin memotongnya tetapi dihalang oleh seorang pemuda yang gagah dan tampan. Beliau bertanya kepada orang yang bijak mentafsir mimpi dan mereka berkata, “akan keluar dari tulang sulbimu seorang zuriat yang bakal menjadi orang besar dan terkenal. Dia akan menyampaikan risalahnya ke sana ke mari sehingga orang2 di timur dan barat akan mengikutinya”.

Tanggal 12 Rabiul awal, lahirlah Nabi yang ditunggu2 oleh seluruh penghuni langit, yang bakal menerangi kegelapan hidup masyarakat arab jahiliyah dan seluruh pelusuk dunia. Pada hari tersebut, berhala-berhala di sekeliling ka’abah tumbang secara tiba2 tanpa adanya gempa atau disentuh seseorang, dibangunkan kembali tetapi tumbang semula. Pada malam itu juga runtuhnya istana kaisar dan terpadamnya api yang disembah oleh orang2 Parsi majusi yang tidak pernah padam sejak berates-ratus tahun sebelum ini.

Muhammad membesar menjadi seorang pemuda yang gagah dan tampan, berseri wajahnya, sejuk dipandang mata. DiangkatNya menjadi Rasul ketika berusia 40 tahun. Mendepani budaya masyarakat arab jahiliyyah pada masa itu, memerlukan Nabi untuk terus tabah dan sabar. Tapi Allah yang Maha Penyayang, tidak membiarkan Nabi sendirian, terus diburu dan dibunuh. Diberikannya mukjizat sebagai pelindung diri dan sebagai bukti akan kebenaran risalah yang dibawanya. Antaranya, terbelahnya bulan, makanan yang sedikit menjadi banyak, keluar air dari jari-jari Nabi, mata air tiba2 menjadi deras airnya, penghormatan benda mati kepada Rasulullah, kepatuhan binatang kepada Rasulullah, mengetahui masalah ghaib (daripada Allah), isra’ mi’raj dan banyak lagi mukjizat yang tidak disebutkan di sini. Dan mukjizat teragung yang dikurniakan Allah kepada Nabi Muhammad adalah Al-Quran, iaitu kitab suci yang tidak akan pernah berubah sehingga hari kiamat. Inilah perbezaan paling besar antara Nabi Muhammad dan Nabi2 lain yang mana kitab2 sebelum ini telah diubahsuai mengikut citarasa rahib2 mereka, sedangkan Al-Quran akan sentiasa terpelihara dan dijaga oleh Yang Maha Kuasa.

Jadilah kita seorang yang belajar dan belajar, iaitu belajar untuk memahami dan menghayati setiap apa yang kita pelajari. Allah swt ada berfirman yang bermaksud, “sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh ikutan yang terbaik”

“belum sampaikah masanya bagi orang2 yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang diwahyukan kepada mereka, dan janganlah mereka berlaku seperti orang2 yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang2 fasik” (QS 57:16)
Tajuk Buku : Mukjizat Rasulullah saw

No comments: